Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

PERKEMBANGAN TERKINI BERKAITAN DENGAN INDUSTRI TEKSI DAN PERKHIDMATAN ‘E-HAILING’

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Pada bulan Mei 2016, SPAD telah membentangkan cadangan penyelesaian di bawah Program Transformasi Industri Teksi kepada Kerajaan melalui Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan menerima maklum balas yang positif. Susulan pembentangan itu, SPAD diarahkan untuk membentangkan cadangan kepada Jemaah Kabinet dalam tempoh yang terdekat.

Suruhanjaya telah mengambil pendekatan yang seimbang serta memberikan tumpuan pada usaha memastikan dasar semasa, peraturan dan keperluan lain akan terus memacu persaingan yang adil dalam industri teksi pada masa hadapan. Cadangan-cadangan yang dikemukakan turut menyentuh keperluan perundangan yang diperlukan untuk menangani permintaan yang dijanakan oleh teknologi semasa serta mengawal selia perkhidmatan ‘e-hailing’ (e-panggilan) seperti Uber dan Grab. Cadangan juga bertujuan memberikan kesaksamaan dalam medan persaingan dalam kalangan pemandu teksi agar mereka dapat kekal bersaing dengan sihat dan adil.

Antara cadangan yang disarankan termasuklah pemberian lesen teksi individu baharu kepada pemandu yang mempunyai rekod yang bersih untuk menggalakkan semangat keusahawanan pada peringkat individu. Cadangan juga menyediakan pilihan yang munasabah bagi pemandu teksi yang berkelayakan untuk keluar daripada belenggu sistem pajak. SPAD juga mencadangkan lebih banyak pilihan model kenderaan bagi kegunaan pemandu teksi.

"Jelas sekali pembaharuan dan perubahan yang dicadangkan itu akan memberikan impak yang besar kepada industri teksi negara. Sebaik sahaja menerima kelulusan Kabinet, kami akan membuat perincian untuk memastikan bahawa penyelesaian dapat dilaksanakan sebaik mungkin serta mengambil kira kerumitan yang akan dialami ketika proses peralihan," kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, En. Mohd Azharuddin Mat Sah.

“Suruhanjaya berkeyakinan bahawa langkah untuk meliberalisasikan model teksi diperlukan untuk mewujudkan landskap industri yang berdaya saing dan berupaya memacu industri ini ke tahap yang lebih baik,” tegas En. Mohd Azharuddin lagi.