Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

BAJET 2017: KERAJAAN TERUS MENGUTAMAKAN PENGANGKUTAN AWAM DARAT

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengalu-alukan peruntukan kepada sektor pengangkutan awam darat di bawah Bajet 2017 yang akan terus mendorong usaha-usaha SPAD untuk menaikkan taraf infrastruktur serta taraf perkhidmatan selari dengan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam darat.

Antara peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak pada 21 Oktober 2016 yang lalu, termasuk kelulusan dana RM60 juta bagi membantu penerima permit teksi individu berkelayakan yang keluar daripada sistem pajak untuk membeli kenderaan baru dengan penerimaan geran RM5,000. Ini mencerminkan komitmen Kerajaan kepada Program Transformasi Industri Teksi yang sedang giat dilaksanakan bagi membangunkan taraf industri ini. Kerajaan juga telah mengumumkan perkenalan jaringan keselamatan melalui skema PERKESO bagi pemandu teksi yang layak.

Di luar kawasan Lembah Klang, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi pemulihan laluan Pantai Timur yang telah musnah akibat banjir kilat pada tahun 2014. Ini akan memulihkan kesalinghubungan bagi kawasan luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan rel. Manakala pengenalan 19 set tren ETS baru yang akan beroperasi bagi laluan Johor Bahru – Padang Besar akan mempertingkatkan frekuensi perkhidmatan serta kapasiti bagi memenuhi permintaan untuk perkhidmatan ini yang kian berkembang pesat.

SPAD juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa Kerajaan akan meneruskan projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) dengan peruntukan RM55 bilion. Projek ECRL ini yang merangkumi jarak 600km akan menghubungkan kawasan GKL/KV dengan bandar-bandar di Pantai Timur, termasuk Bentong, Kuantan, Kuala Teregganu, Kota Bahru dan Tumpat. Seiring dengan itu projek ini juga akan membolehkan pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran serta membawa faedah dan perubahan kepada rakyat.

Demi meningkatan mobiliti dan mengurangkan kesesakan di kawasan Greater Kuala Lumpur / Lembah Klang (GKL/KV) yang kian mengalami urbanisasi, Kerajaan tetap komited dalam merealisasikan projek-projek yang berwawasan seperti Penyambungan Laluan bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang. Ini termasuk projek MRT Laluan 1 (Sungai Buloh – Kajang) yang bakal beroperasi fasa pertama pada Disember 2016.