Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

MAJLIS PENYERAHAN DANA SOKONGAN SEMENTARA BAS BERHENTI-HENTI (ISBSF)

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Pengguna bas yang bergantung kepada bas berhenti-henti untuk perjalanan harian merentasi bandar-bandar kecil dan desa akan terus menikmati perkhidmatan tanpa gangguan dengan penyaluran dana sebanyak RM142.7 juta oleh Kerajaan. Peruntukan kritikal ini yang telah diumumkan pada 9 Ogos akan disalurkan kepada 65 pengendali bas berhenti-henti yang telah memohon untuk mendapatkan bantuan pada tahun ini.

Dana ini diteruskan oleh Kerajaan atas permintaan beberapa pihak pengendali yang telah memohon agar bantuan ini diteruskan bagi membolehkan mereka untuk menyambung operasi dan perkhidmatan bas di sepanjang laluan yang kurang pengguna atau tidak menguntungkan.

Majlis penyerahan dana ISBSF yang dihadiri oleh beberapa pihak pengendali bas berhenti-henti dirasmikan oleh Pengerusi SPAD; YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Bin Syed Jaafar Albar, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD; Encik Mohd Azharuddin Bin Mat Sah dan Pengerusi Eksekutif NADICORP Holdings Sdn Bhd.; YBhg Tan Sri Dr. Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Menurut Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Albar “Bas masih merupakan mod pengangkutan awam darat yang penting bagi bandar-bandar kecil dan kawasan yang tidak dihubungkan oleh pengangkutan rel. Menyedari keperluan untuk mengekalkan laluan-laluan sosial yang penting ini, kerajaan terus bertekad untuk meningkatkan perkhidmatan bas henti-henti melalui pelbagai inisiatif yang lebih mampan. Dengan penerusan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) ini oleh kerajaan bagi tahun 2016, jumlah keseluruhan yang telah diperuntukan daripada tahun 2012 sehingga kini adalah sebanyak RM661.7 juta.”

ISBSF diperkenalkan pada tahun 2012, bagi menampung kerugian harian yang ditanggung oleh pihak pengendali. ISBSF adalah satu langkah sementara bagi memastikan operasi bas berhenti-henti terutamanya bagi laluan di luar bandar. ISBSF telah memberikan manfaat kepada lebih daripada 347 juta penumpang merentasi 608 laluan.

Kerajaan dalam usaha menjalankan transformasi pengangkutan awam darat akan memastikan setiap kelemahan dalam industri ini akan terus diperbaiki agar sistem pengangkutan awam darat boleh dinikmati oleh semua golongan mahupun di luar bandar.