Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

KERAJAAN TETAP MEMBERI KEUTAMAAN BAGI TRANSFORMASI BAS BERHENTI-HENTI DI LUAR BANDAR

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Transformasi industri bas berhenti-henti tetap menjadi keutamaan bagi Kerajaan dengan penyaluran dana di bawah Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF). ISBSF yang diperkenalkan pada 2012, merupakan satu langkah sementara oleh Kerajaan bagi memastikan operasi bas berhenti-henti terutamanya bagi laluan sosial di luar bandar tidak terjejas demi kepentingan rakyat.

Sejak diperkenalkan, ISBSF telah memberikan manfaat kepada lebih daripada (349.57 juta) penumpang merentasi 608 laluan bagi membantu memastikan bas-bas akan terus menyediakan perkhidmatan di semua laluan, termasuk laluan yang tidak menguntungkan.

"Bas masih merupakan mod pengangkutan awam yang penting bagi bandar-bandar kecil dan kawasan yang tidak dihubungkan oleh perkhidmatan rel. Menyedari keperluan untuk mengekalkan laluan-laluan sosial yang penting ini, Kerajaan terus bertekad untuk meningkatkan perkhidmatan bas berhenti-henti melalui pelbagai inisiatif yang lebih mampan. Dengan penerusan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) ini oleh Kerajaan bagi tahun 2016, jumlah keseluruhan yang telah diperuntukan daripada 2012 sehingga kini adalah RM755 juta," kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Dato' Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

ISBSF adalah bertujuan untuk meringankan beban pengendali bas yang menghadapi kesukaran akibat peningkatan kos operasi dan pada masa yang sama membantu meringankan beban berpunca daripada laluan yang kurang menguntungkan terutamanya di kawasan luar Bandar. Dana ISBSF ini juga akan terus menggalakkan pengendali bas untuk mengaktifkan semua laluan yang dihentikan selain mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan menambahkan kekerapan perjalanan dan memperbaiki keadaan kenderaan secara amnya. Dengan memastikan inisiatif ISBSF ini diteruskan, rakyat dapat menikmati peningkatan tahap kualiti perkhidmatan bas henti-henti.

Dari segi transformasi jangka panjang dan kemampanan industri bas, penerima dana ISBSF yang mengendalikan perkhidmatan di ibu-ibu negeri akan dialihkan kepada program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) yang telah memperkenalkan perkhidmatan myBAS pada tahun 2015.

Program SBST (yang memperkenalkan jenama myBas) direka untuk meningkatkan daya maju pengendali dan memperluaskan laluan bas dengan bermigrasi dari model kutipan tambang kepada model perkhidmatan baharu. SPAD memainkan peranan sebagai badan perancang yang bertanggungjawab ke atas rangkaian bas berhenti-henti serta kos pengendalian myBAS, di samping menerima pulangan tambang (fare-box revenue). Perkhidmatan ini turut dirangka bagi memastikan penumpang memperolehi perkhidmatan bas sepanjang laluan sosial yang dahulunya kurang mendapat perhatian, di samping mengurangkan pertindihan laluan bas agar liputan perkhidmatan tersebut mencapai tahap optimum.

Sejak pengenalan perkhidmatan myBAS dibawah program SBST, lebih dari 4 juta pengguna telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan bas henti- henti bagi perjalanan harian mereka. Setakat Disember 2016, perkhidmatan myBAS Kangar yang dilancarkan pada Ogos 2015 telah mencatatkan 390,402 penumpang, manakala perkhidmatan myBAS Seremban yang dirasmikan pada November 2015 telah mencatatkan 3,626,579 penumpang dan perkhidmatan myBAS Ipoh yang dirasmikan pada Jun 2016 telah mencatatkan 437,310 penumpang.

“Dengan pelaburan RM100 juta, SPAD telah mengoperasikan perkhidmatan myBAS di Kangar, Seremban dan Ipoh; serta bakal melancarkan perkhidmatan yang sama di Kuala Terengganu dan Johor Bahru. Ini akan menjadi asas untuk pelaksanaan seluruh negara pada tahun 2020, dengan kerjasama daripada kerajaan negeri masing-masing, " tambah Tan Sri Dato' Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar