Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

PELENGKAP PENGANGKUTAN AWAM NEGARA

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Apabila saya mula-mula mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 2009, negara pada waktu itu sebenarnya menghadapi cabaran besar dalam mencari titik seimbang antara pembangunan bandar dan kawasan luar bandar.

Defisit ketika itu agak tinggi, ekonomi kita tidak berkembang pada peratusan yang ideal, dan berbekalkan sumber yang ada, saya perlu memastikan kebajikan masyarakat di luar bandar terpelihara tanpa mengabaikan kehidupan masyarakat di bandar.

Oleh itu, saya telah memulakan perjalanan transformasi dengan melancarkan pelbagai inisiatif bagi membantu masyarakat luar bandar, sebagaimana yang diketahui umum dan tercatat dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara yakni memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta banyak lagi.

Tetapi pada masa sama, Kerajaan tidak lupa juga bahawa kita perlu merancakkan lagi ekonomi negara yang pelannya dengan jelas tertera dalam Bidang Ekonomi Utama Negara dan sebagai sebuah negara dengan aspirasi menjadi ekonomi tinggi dan maju, kita tidak boleh mengabaikan lokasi geografi utama negara, hab kita yakni Kuala Lumpur dan juga Lembah Klang atau Greater KL.

Kita perlu memastikan bandar utama negara terus berkembang pesat dan mencapai kualiti kehidupan yang tinggi sepertimana di bandar-bandar terkenal dunia di London, Paris, Sydney dan sebagainya.

Saya bertuah berpeluang melawat kebanyakan bandar-bandar tersebut, dan seperkara yang menjadi persamaan di kesemua bandar ini melalui pengamatan saya adalah sistem pengangkutan awam mereka yang amat efisien serta moden, dengan rangkaian dan kesalinghubungan mengagumkan antara pengangkutan awam yang ditunjangi sistem rel dan bas.

Kerana itu, satu perkara yang ditekankan dalam pentadbiran saya adalah menambah baik pengangkutan awam sedia ada kepada sistem yang lebih moden, efisien dan bersepadu.

Tiada bandar di dalam dunia yang boleh terus berkembang tanpa pengangkutan awam. Sekiranya kita bergantung semata-mata kepada kenderaan persendirian, keadaan akan menjadi begitu sesak dan sempit, melemaskan penduduk dalam sesebuah bandar.

Walaupun Malaysia – terutamanya Kuala Lumpur dan Lembah Kelang – telah mempunyai sistem pengangkutan awam dengan beberapa jaringan transit yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, terdapat banyak masalah dan ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan.

Sekiranya kita imbas kembali, pengangkutan awam bandar sebelum ini agak bercelaru, tidak berhubung dengan jaringan yang berpecah-belah.

Sistem rel kita tidak bersepadu dengan kesalinghubungan yang lemah antara sistem, perkhidmatan tidak menepati masa dan rangkaian tidak mencukupi selain juga masalah legasi seperti perjanjian konsesi berat sebelah dan sebagainya perlu diselesaikan. Tambahan kepada itu, ia juga gagal mengambil kira kawasan berkepadatan tinggi dan hubungan dengan kawasan perumahan.

Bagi mengatasi masalah-masalah ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD telah ditubuhkan untuk mengemudi Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara, sebuah pelan komprehensif 20 tahun untuk mentransformasikan pengangkutan awam negara menjadi pengangkutan awam kelas pertama.

Antara projek utama di bawah rancangan ini adalah Transit Aliran Massa, atau kita kenali hari ini sebagai MRT. Projek ini adalah sebuah projek mega, dan meskipun ia menelan belanja berbilion Ringgit, tetapi ia adalah projek tepat yang akan mengubah landskap Kuala Lumpur dan Malaysia.

Projek mega MRT ini juga bagi saya, adalah satu jawapan konkrit Kerajaan terhadap kritikan dan tohmahan tidak berasas yang dilontarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab mengenai keadaan ekonomi negara sejak sekian lama.

Bagaimana mungkin sebuah negara dan ekonomi yang dituduh gagal dan bankrap mampu membina dan merealisasikan sebuah projek mega seperti MRT? Ini adalah sebuah projek amat besar dengan teknologi amat moden dan maju, tidak mungkin termampu dibina oleh negara yang kononnya akan bankrap tidak lama lagi.

Selain itu, ada juga tuduhan daripada sebilangan warga kota dan penganalisa politik bahawa saya dan Kerajaan Barisan Nasional mengutamakan penduduk luar bandar kerana ingin memancing undi. Ini juga terbukti tidak tepat sama sekali. Kerajaan Barisan Nasional yang saya ketuai ini telah bersikap adil dan memberikan pelbagai manfaat untuk komuniti dalam bandar, sama ada dari segi pencukaian, pendidikan, keusahawanan, perumahan dan terbaru sekali, projek MRT.

Beralih daripada bicara politik, projek MRT ini sememangnya akan memainkan peranan penting dalam usaha kita melengkapkan sistem pengangkutan awam bandar negara.

MRT akan mengubah kesemua ini dengan sistem dan perkhidmatan yang jauh lebih efisien, moden, dan liputan rangkaian yang lebih berkesan. MRT akan menghubungkan rel, perumahan, pejabat dan destinasi-destinasi utama rakyat Malaysia yang sebelum ini berada di luar rangkaian.

Berkongsi sedikit fakta, laluan pertama KVMRT Sungai Buloh-Kajang ini akan meliputi jarak sejauh 51 kilometer, di mana 41.5 kilometer bertingkat dan selebihnya di bawah tanah serta merangkumi sebanyak 31 stesen.

Bagi memastikan kebolehcapaian optimum, 16 daripada stesen MRT ini akan dilengkapi dengan sistem Park-and-Ride di mana pengguna boleh memandu dari rumah ke stesen berdekatan sebelum menaiki MRT ke destinasi akhir mereka di dalam bandar.

Beberapa stesen juga akan menjadi stesen pertukaran bagi sistem rel lain seperti KTM, Monorel dan LRT, membolehkan pengguna menukar antara sistem dan mod pengangkutan secara mudah dan cepat dalam menuju destinasi pilihan.

Fasa pertama laluan SBK iaitu dari Sungai Buloh ke Semantan, melalui 10 stesen di antaranya, bakal dibuka pada Jumaat ini pada 16 Disember.

Sekiranya anda pernah belajar di luar negara seperti di UK atau Australia, ataupun berpeluang melancong ke kota Seoul atau Tokyo, atau juga pernah merantau mencari rezeki bekerja di Singapura atau Amerika Syarikat, tentu anda tahu bagaimana pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam perjalanan anda dari satu destinasi ke destinasi seterusnya.

Meskipun kos memainkan peranan, tetapi yang lebih utama adalah masa dan fleksibiliti yang ditawarkan oleh pengangkutan awam. Berbanding memandu, di dalam tren anda berpeluang untuk merehatkan minda, membaca buku ataupun membalas mesej WhatsApp, menghantar e-mel dan macam-macam lagi, perkara yang tidak boleh dan tidak patut dilakukan sekiranya anda memandu.

Secara tuntasnya, projek MRT ini lebih daripada sekadar sebuah mod pengangkutan awam baharu. MRT akan mengubah gaya hidup rakyat kepada gaya hidup moden di mana pengangkutan awam menjadi norma dalam kehidupan seharian dan digunakan oleh semua tidak kira yang miskin mahupun kaya.

Pembinaan MRT ini bukan sekadar sebuah projek infrastruktur, tetapi sebuah projek yang dirangka dengan memikirkan pengguna, iaitu rakyat semuanya sebagai kriteria paling utama, sebuah projek infra-rakyat.

Dan projek MRT Laluan SBK ini juga bukan satu-satunya projek sedemikian rupa. Banyak lagi projek yang telah dan sedang kita rencanakan untuk rakyat dalam masa terdekat ini dan juga untuk jangka masa panjang.

Projek-projek sebeginilah yang Kerajaan di bawah pimpinan saya sentiasa utamakan, projek yang memanfaatkan semua rakyat, bukan sesetengah atau sebahagian kecil sahaja. Kita ingin Malaysia maju seiring dengan rakyatnya, bukan mendepani atau meninggalkan rakyat di belakang.

Dan MRT inilah pemula, penggerak, pemacunya. Mod pengangkutan awam pilihan yang akan membawa Malaysia dan rakyat Malaysia di dalam gerabaknya yang serba moden, terus maju ke hadapan ke masa depan yang gemilang, Insya-Allah.

 

Source: Najibrazak.com | 13 Disember 2016