Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

Pemeteraian Perjanjian Bilateral Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR)

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Memajukan selangkah lagi aspirasi negara bagi mencapai satu sistem pengangkutan awam darat yang lebih moden dan bertaraf dunia, Perjanjian Bilateral Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) telah dimuktamadkan oleh Malaysia dan Singapura sewaktu sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh di Putrajaya pada 13 Disember yang lalu.

Disaksikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura, Yang Amat Berhormat Lee Hsien Loong, Kerajaan Malaysia telah diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Abdul Rahman Dahlan manakala Singapura telah diwakili Menteri Pengangkutan Singapura Tuan Yang Terutama Khaw Boon Wan.

Perjanjian Bilateral ini merupakan pembuka tirai kepada usaha-usaha yang akan dijalankan oleh kedua-dua kerajaan bagi membangunkan projek ikonik yang bakal menyambungkan Kuala Lumpur ke Singapura dalam masa 90 minit.

Pada sidang media bersama oleh kedua-dua Perdana Menteri yang diadakan selepas pemeteraian perjanjian, Dato’ Sri Mohd Najib berkata bahawa Malaysia dan Singapura komited dengan tarikh akhir projek itu pada tahun 2026.

Projek HSR disasarkan memulakan operasi pada tahun 2026 dan akan melalui lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Jurong East di Singapura.

"Melihat kepada saiz dan kerumitan projek itu, 10 tahun merupakan satu tempoh yang agak singkat, yang bermakna kita perlu bekerja keras dan memberi tumpuan untuk menangani semua cabaran yang dihadapi," kata beliau.

Beliau menambah bahawa Kerajaan akan melihat ke arah pelantikan rakan kongsi pembangunan bersama pada awal tahun 2017 manakala tender akan ditawarkan pada akhir tahun depan.

Apabila siap kelak, projek HSR akan merangkumi  tiga perkhidmatan iaitu Perkhidmatan Ekspres Terus antara Bandar Malaysia-Singapura, Perkhidmatan Shuttle antara Iskandar Putri-Singapura; dan perkhidmatan domestik atau henti-henti antara perhentian dalam negara.

Penumpang yang mengambil HSR di Bandar Malaysia atau Singapura hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen (CIQ) sekali sahaja di peringkat permulaan perjalanan bagi memastikan perjalanan 90 minit, manakala penumpang dari stesen domestik lain yang ingin ke Singapura perlu melalui melalui dua CIQ iaitu imigresen di Malaysia dan Imigresen di Singapura yang mana perjalanan dijangka mengambil masa lebih dua jam. Penumpang-penumpang domestik antara-perhentian dalam negara tidak perlu melalui proses CIQ.

Ditanya mengenai persaingan bagi projek HSR, Tuan Yang Terutama Lee berkata proses bidaan dijangka akan kompetitif namun Malaysia dan Singapura akan memilih yang terbaik.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh, selain dari maklumat-maklumat teknikal berkenaan projek, perjanjian bilateral juga memerlukan satu jawatankuasa dua hala diwujudkan untuk menyelia semua aspek projek itu dan perkara lain yang dinyatakan dalam perjanjian itu.