Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

UCAPAN TAHUN BARU, TAN SRI DATO’ SERI DR. SYED HAMID BIN SYED JAAFAR ALBAR, PENGERUSI SPAD

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Tatkala berada di awal tahun, sudah menjadi kebiasaan bagi kita menetapkan azam baru. Sama ada bagi diri sendiri atau di tempat bertugas, sudah tentu kita semua ingin melakukan yang terbaik supaya dapat mengejar pencapaian yang bermakna dan memanfaatkan semua pihak. Sementara bergegas ke hadapan mengejar cita-cita sedemikian eloklah juga sekiranya kita mengambil pengajaran dari pengalaman tahun yang sebelumnya.

Alhamdulillah, sejajar dengan agenda transformasi pengangkutan awam darat Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tahun 2016 telah menampakkan hasil pelbagai usaha yang telah dijalankan berlandaskan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat yang telah dicetuskan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tahun 2013 bagi mencapai perkongsian mod 40% menjelang tahun 2030. Beberapa projek besar yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia seperti Sambungan Jajaran Laluan Kelana Jaya – Ampang serta fasa 1 projek Transit Aliran Massa (Mass Rapid Transit atau MRT) telah pun disempurnakan seperti yang dijanjikan kepada rakyat. Selain itu, kerajaan terus komited kepada agenda transformasi pengangkutan awam darat dengan memberikan kelulusan dan dana yang diperlukan bagi pelbagai program termasuk Program Transformasi Industri Teksi, Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti, myBAS, GoKL dan sebagainya.

Walaupun padat dengan pencapaian yang positif, tahun 2016 juga telah membawa detik-detik yang menduga industri pengangkutan awam darat. Antaranya adalah tragedi bas ekspres Pagoh yang telah mengorbankan 14 nyawa dengan ramai lagi yang tercedera. Setiap kali terjadinya kemalangan yang menyayat hati, menuding jari, dan menyalahkan pelbagai pihak sudah tentu menjadi satu kebiasaan. Di sini perlu ditekankan betapa pentingnya industri pengangkutan awam darat mengamalkan budaya keselamatan yang bertaraf dunia. Apa yang sepatutnya dilakukan adalah pengukuhan jalinan kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian. Kita mesti mengambil iktibar daripada semua kemalangan yang berlaku dan mengkaji faktor-faktor penyebab untuk mempertingkatkan lagi tindakan bagi mengurangkan kemalangan. Selain agensi-agensi Kerajaan mengembleng tenaga dalam memastikan keselamatan penumpang diutamakan, pengendali juga perlu mengambil serius kualiti perkhidmatan dan ketersediaan pemandu dalam melaksanakan tugas mereka.

Di dalam perjalanan SPAD setelah ditubuhkan, kita telah diiktiraf oleh industri dan pemegang kepentingan sebagai pihak berkuasa dan pemudahcara bagi perkembangan di dalam pengangkutan awam darat. Sebagai badan kawal selia, perancang dan pelaksana, SPAD mendukung banyak aspirasi daripada pelbagai pihak dan memegang amanah bagi melindungi keselamatan para pengguna pengangkutan awam darat.

Tahun 2017 sudah tentunya membuka satu lembaran baru bagi kita untuk melaksanakan pelbagai amanah yang diberikan kepada kita. Contohnya projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2017 bersama dengan peruntukan bagi 19 set tren ETS bagi laluan Gemas ke Padang Besar dan projek landasan berkembar Gemas ke Johor Bahru yang sedang dibangunkan. Pada bulan Julai, fasa 2 bagi MRT 1 dari Semantan ke Kajang dijangka akan siap dan LRT laluan Kelana Jaya juga akan menerima 14 tren 4 gerabak secara berperingkat. ERL akan menambah 6 set tren di mana 2 set akan digunakan bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan 4 set bagi perkhidmatan KLIA Transit. Sementara itu KTMB akan meneruskan projek penaiktarafan landasan berkembar di Lembah Klang serta juga rehabilitasi dan penambahbaikan rel pantai timur yang dilanda banjir baru-baru ini.

Akhir kata, bagi mengorak langkah ke hadapan, disamping meningkatkan pembinaan kapasiti dan kerjasama dengan pemegang kepentingan, SPAD perlu memastikan pengumpulan data ditingkatkan, kerana dengan sokongan data kita dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan meyakinkan. Saya juga mengalu-alukan kerjasama daripada agensi-agensi dan pemegang kepentingan ke arah memajukan industri pengangkutan awam darat ke taraf dunia bagi manfaat rakyat.

Sekian terima kasih.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Jaafar Albar,
Pengerusi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat