Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

YAB Perdana Menteri merasmikan Fasa 1 MRT 1 bagi laluan Sungai Buloh – Kajang

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Sungai Buloh, 15 Disember, 2016 - Satu peristiwa bersejarah berjaya dilakarkan dengan pelancaran Fasa Pertama MRT Laluan 1 Sungai Buloh – Kajang (SBK) daripada Sungai Buloh ke Semantan oleh Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Kejayaan pelaksanaan MRT Laluan 1 ini membuktikan komitmen Kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, untuk menyediakan rangkaian pengangkutan awam darat yang efisien, selesa serta memenuhi keperluan rakyat atau People Economy, selaras dengan aspirasi bagi ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.’  

Fasa Pertama MRT Laluan 1 yang mula beroperasi pada Disember 16, 2016 merangkumi 12 stesen iaitu Stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Stesen Semantan. Sebanyak 112 bas pengantara telah disediakan bagi kesemua 12 stesen yang terlibat dengan kekerapan 10 hingga 15 minit, dengan kadar tambang RM1 bagi perjalanan satu hala.

Manakala, Fasa Dua, MRT Laluan 1 yang dijangkakan mula beroperasi pada Julai 2017, akan merangkumi laluan dari Semantan ke Kajang dan mempunyai ciri-ciri binaan bawah tanah. Apabila Fasa Kedua mula beroperasi, keseluruhan laluan SBK sepanjang 51km akan dibuka sepenuhnya bersama dengan 31 stesen. Tujuh daripada stesen ini merupakan stesen bawah tanah, manakala 24 stesen adalah stesen bertingkat. MRT Laluan 1 ini akan memanfaatkan kira-kira 1.2 juta penduduk di sekitar Lembah Klang.

YAB Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa, projek MRT ini merupakan satu pencapaian bukan sahaja kepada sistem pengangkutan yang sedia ada, malah sebagai satu batu loncatan kepada kemajuan negara.

"Hari ini bukan sahaja hari teristimewa bagi kita, tetapi lebih daripada itu. Projek MRT akan memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dengan sistem pengangkutan yang moden,” kata YAB Perdana Menteri.

Pada majlis pelancaran yang bersejarah itu, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan  perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma selama sebulan mulai 16 Disember 2016 sehingga 16 Januari 2017 sebagai hadiah kepada rakyat sempena sambutan Tahun Baru. Ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baru, moden dan efisien ini.

Turut hadir di dalam majlis Pelancaran tersebut adalah, Menteri Kewangan II, YB Datuk Johari Abdul Ghani; Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), YBhg. Tan Sri Syed Hamid Albar; Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Yang Berusaha, En. Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., YBhg. Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Manakala Projek MRT2 yang juga dikenali sebagai laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP Line) dijangka akan memulakan operasi serta membuka perkhidmatan kepada orang awam pada suku kedua tahun 2022 dengan jangkaan 529,000 penumpang sehari.

Laluan MRT (SSP) adalah projek MRT yang kedua daripada tiga laluan MRT yang dirancangkan bertujuan melengkapkan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) bagi memudahkan perjalanan penduduk di sekitar ibu kota selain meningkatkan pembangunan negara secara mampan. Laluan ini akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di koridor yang mempunyai lebih kurang 2 juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya, dan merangkumi Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya. Laluan ini akan mempunyai jarak sepanjang 52.2km di mana 13.5km berada di bawah tanah.  Sebanyak 37 buah stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah, akan dibina.

Projek MRT merupakan sebahagian daripada rangkaian rel Lembah Klang yang komprehensif dan diintegrasi dengan perkhidmatan rel yang lain. Beberapa buah stesen sepanjang jajaran ini akan diintegrasikan dengan stesen-stesen Komuter, LRT, Monorel dan ERL. Selain daripada itu, untuk kemudahan para pengguna, perkhidmatan bas pengantara MRT yang dikendalikan oleh Prasarana, juga akan beroperasi untuk menghubungkan penumpang ke stesen terdekat.