Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
taxi

SOALAN LAZIM PELAKSANAAN PERKHIDMATAN E-HAILING

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

SOALAN LAZIM PELAKSANAAN PERKHIDMATAN E-HAILING

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan Perniagaan Pengantaraan (e-hailing)?

Perniagaan Pengantaraan ialah satu perkhidmatan yang disediakan untuk menempah perkhidmatan pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik. Perkhidmatan ini adalah termasuk kenderaan e-hailing dan teksi.

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan kenderaan e-hailing?

Kenderaan e-hailing ialah kenderaan persendirian yang digunakan untuk memberi perkhidmatan pengangkutan awam kepada penumpang yang menempah melalui aplikasi elektronik.

Kenderaan tersebut hendaklah kenderaan motor yang muatan tempat duduknya empat (4) orang dan tidak lebih daripada sebelas (11) orang (termasuk pemandu).

  1. Mengapakah perkhidmatan e-hailing perlu dikuatkuasakan?

Perkhidmatan e-hailing yang diperkenalkan di negara ini merupakan perkhidmatan baharu dan tidak termaktub di dalam mana-mana akta sedia ada. Oleh yang demikian, perkhidmatan ini perlu dikuatkuasakan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan menepati tahap perkhidmatan yang berkualiti termasuk dari aspek keselamatan.

Ia juga bagi memastikan kesaksamaan “level playing field” di antara perkhidmatan e-hailing dengan perkhidmatan teksi.

  1. Bilakah perkhidmatan e-hailing akan dikuatkuasakan?

Perkhidmatan e-hailing telah dikuatkuasakan pada 12 Julai 2018. Syarikat e-hailing diberikan tempoh selama satu (1) tahun untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP).

  1. Kenapakah perlu tempoh satu (1) tahun tersebut?

Tempoh ini adalah untuk, antara lain:

  1. memberi tempoh kepada syarikat e-hailing untuk memenuhi kesemua kriteri-kriteria kelayakan untuk memohon Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP).
  2. pemandu teksi dan e-hailing yang baru perlu menjalani program latihan pemandu modul baharu selama 6 jam.
  3. melaksanakan proses-proses saringan yang ditetapkan oleh SPAD/APAD dan JPJ sebelum pengeluaran Kad Pemandu/Lesen Vokasional Pemandu oleh SPAD/APAD dan JPJ.
     
  4. Bilakah syarikat e-hailing boleh memohon Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP)?

SPAD/APAD akan memaklumkan dan membuat pengumuman kepada syarikat-syarikat e-hailing berkenaan mengenai tarikh mula untuk memohon Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP).

  1. Apakah syarat untuk memohon LPP?

Syarikat e-hailing perlu:

  1. berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM);
  2. mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya sebanyak RM100,000;
  3. mempunyai seorang ahli lembaga pengarah atau ahli lembaga koperasi berstatus warganegara dan menetap di Malaysia; dan
  4. syarat-syarat lain yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa berkaitan Perniagaan Pengantaraan yang akan dikeluarkan kelak.
  1. Sekiranya syarikat teksi sedia ada yang mempunyai aplikasi tempahan elektronik, apakah syarat bagi permohonan LPP?

Syarat-syarat yang sama seperti soalan no. 7, terpakai kepada syarikat teksi yang ingin memohon LPP atau ingin menjalankan perkhidmatan e-hailing.

  1. Apakah proses untuk berdaftar sebagai pemandu e-hailing?

Pemandu yang berminat hendaklah berdaftar dengan syarikat e-hailing.

  1. Apakah syarat yang dikenakan kepada pemandu e-hailing?

Syarat-syaratnya adalah:

  1. warganegara Malaysia;
  2. berumur tidak kurang 21 tahun;
  3. lesen Memandu Kompeten (CDL);
  4. tiada sabitan kesalahan jenayah berdaftar;
  5. tidak disenarai hitam oleh PDRM dan JPJ dan tidak mempunyai kompaun tertunggak dengan SPAD/APAD;
  6. lulus  pemeriksaan kesihatan; dan
  7. hadir dan lulus program latihan pemandu modul baharu selama 6 jam
  8. syarat-syarat lain yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa berkaitan Perniagaan Pengantaraan yang akan dikeluarkan kelak.


 

  1. Adakah pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen vokasional?

Pemandu e-hailing baharu (kenderaan e-hailing dan teksi) perlu mendapatkan lesen vokasional baharu dengan melepasi proses saringan yang ditetapkan oleh SPAD/APAD dan JPJ serta menjalani dan lulus modul latihan baharu selama 6 jam. Pengumuman rasmi bagi pelaksanaan modul ini akan dilakukan sebelum tempoh satu (1) tahun berakhir.

Modul latihan ini boleh dilaksanakan oleh mana-mana syarikat Perniagaan Pengantaraan, Institut Memandu, syarikat teksi atau syarikat penyedia latihan yang ditauliahkan oleh SPAD/APAD dengan fi tidak melebihi RM200 bagi setiap pemandu.

Buat masa ini, pihak SPAD/APAD dan JPJ belum melantik mana-mana secara rasmi untuk menawarkan program latihan ini.

  1. Apakah syarat yang dikenakan kepada kenderaan yang ingin didaftarkan dibawah LPP atau sebagai kenderaan e-hailing?

Kenderaan:

  1. terbuka kepada semua jenama yang mempunyai sekurang-kurangnya taraf 3 bintang tahap piawaian ASEAN NCAP atau yang setara dengannya;
  2. 4 – 11 muatan tempat duduk (termasuk tempat duduk pemandu);
  3. menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sekali dalam setahun apabila kenderaan melebihi usia 3 tahun dari tarikh didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ);
  4. had usia kenderaan:
    1. CKD – tidak lebih 10 tahun dari tarikh didaftarkan di JPJ;
    2. CBU – tidak lebih 10 tahun dari tahun dibuat oleh pengeluar kenderaan; dan
    3. Had usia kenderaan kelas teksi, kereta sewa dan teksi mewah adalah seperti mana yang diluluskan oleh S.P.A.D. berdasarkan permit kenderaan.
  5. memaparkan pelekat tanda pengenalan kenderaan e-hailing yang dikeluarkan oleh JPJ;
  6. perlindungan insurans bagi kenderaan, penumpang dan pihak ketiga;
  7. syarat-syarat lain yang akan ditetapkan di dalam Pekeliling berkaitan Perniagaan Pengantaraan yang akan dikeluarkan kelak

 

  1. Berapakah kadar komisen yang boleh dikenakan oleh syarikat e-hailing?

Kadar komisen maksima yang boleh dikenakan adalah seperti berikut:

  1. Bagi pemandu teksi, adalah sebanyak 10% untuk setiap perjalanan;
  2. Bagi pemandu e-hailing, adalah sebanyak 20% untuk setiap perjalanan.

 

  1. Berapakah kadar surcaj yang boleh dikenakan oleh syarikat e-hailing?

Syarikat e-hailing dibenarkan mengenakan surcaj sebanyak (2) kali ganda dari harga tambang sahaja.

  1. Bolehkah pemandu perkhidmatan e-hailing menunggu di terminal, hentian atau di lapangan terbang?

Model operasi bagi perkhidmatan e-hailing adalah melalui tempahan melalui aplikasi elektronik sahaja dan bukannya berpangkalan.

  1. Bagaimanakah cara syarikat e-hailing untuk mengawal pemandu mereka sekiranya pemandu tersebut membawa penumpang tanpa menggunakan tempahan dalam aplikasi malah melalui persetujuan antara penumpang dan pemandu “mutual agreement”?

Syarikat e-hailing adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pemandu-pemandu mereka mengikut syarat-syarat Lesen Perniagaan Pengantaraan.

Sekiranya penguatkuasa SPAD/JPJ menerima aduan atau menahan kenderaane-hailing yang tidak dapat mengemukakan bukti penempahan serta menerima bayaran dari penumpang, pemandu tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) (Pindaan) 2017.

  1. Bolehkah perkhidmatan e-hailing dikecualikan beroperasi untuk sesuatu bandar, daerah atau pulau?

Tidak. Akta PAD (Pindaan) 2017 menetapkan penguatkuasaan perkhidmatan e-hailing adalah di seluruh Semenanjung Malaysia.

  1. Adakah pekerja sektor awam seperti (Polis, Tentera dll) dibenarkan menjadi pemandu e-hailing? Jika dibenarkan, adakah perlu syarat-syarat lain diperlukan seperti surat daripada ketua jabatan?

Berdasarkan Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 menetapkan bahawa seseorang pegawai awam dibenarkan untuk melakukan sebarang pekerjaan luar dengan syarat memperolehi kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya.

  1. Adakah “kenderaan sewa” dibenarkan untuk beroperasi sebagai kenderaan e-hailing?

“Kenderaan sewa” yang memenuhi syarat-syarat seperti di jawapan no.11 (kenderaan) adalah dibenarkan.

  1. Adakah sebarang tindakan undang-undang akan diambil dalam tempoh 1 tahun?

Tindakan undang-undang berkenaan dengan perkhidmatan e-hailing tidak akan diambil dalam tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, syarikat dan pemandu e-hailing hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan lebih awal dari tarikh tamat tempoh tersebut bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

  1. Bagaimanakah cara bagi syarikat e-hailing yang baharu/berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkhidmatan e-hailing?

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan e-hailing, sila hubungi dengan pegawai SPAD di Jabatan Teksi menerusi talian 03-2726 7029 atau emel di taxi@spad.gov.my

| Muat turun Fail |

Land Public Transport