Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
media centre

SPAD MENYERAHKAN 300 LESEN INDIVIDU KEPADA KUMPULAN PEMANDU TEKSI YANG KEDUA DIBAWAH PROGRAM TITP

Printer-friendly versionSend by emailPDF version
Wednesday, 21 June 2017

KENYATAAN MEDIA 

SPAD MENYERAHKAN 300 LESEN INDIVIDU KEPADA KUMPULAN PEMANDU TEKSI YANG KEDUA DIBAWAH PROGRAM TITP 
43 Pemandu Turut Menerima Geran Tunai Kerajaan Sebanyak RM5,000 

KUALA LUMPUR, 21 JUN 2017 – Selaras dengan usaha Kerajaan bagi mempertingkatkan industri teksi untuk menjadi lebih responsif kepada kuasa pasaran, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui Program Transformasi Industri Teksi (TITP) pada hari ini telah menyerahkan 300 lagi lesen individu kepada kumpulan kedua pemandu yang layak dan telah tamat tempoh perjanjian sewa pajak. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang telah menyempurnakan majlis tersebut, berkata pemberian lesen teksi individu itu adalah satu inisiatif progresif oleh Kerajaan dan SPAD untuk membuka jalan bagi menyelesaikan isu serta rungutan pemandu teksi dibawah sistem pajak yang telah lama membebankan mereka. Tambah beliau, pemberian lesen individu itu diadakan menerusi inisiatif TITP bagi menambah baik kebajikan pemandu teksi, sekali gus mewujudkan daya saing yang lebih sihat di pasaran masa kini. 

Kumpulan kedua penerima lesen individu pada hari ini telah melalui proses saringan yang ketat oleh Suruhanjaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta menepati syarat-syarat kelayakan pelesenan SPAD. Penerima lesen individu kumpulan kedua ini terdiri daripada 157 pemandu teksi dan 143 pemandu kereta sewa. Daripada jumlah itu, 59% adalah daripada Lembah Klang & Negeri Sembilan, 24% daripada Pulau Pinang & Pulau Langkawi dan 17% daripada Melaka & Johor Bahru. Tambahan lagi, 43 daripada penerima lesen individu pada kali ini turut menerima geran tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baru. Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ketika Pembentangan Bajet 2017. 

Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang bakal dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada bulan hadapan akan membolehkan penyeragaman peraturan syarat-syarat sewa pajak yang akan dikawal selia oleh SPAD. Ini termasuk peruntukkan bagi hari bebas sewa untuk pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak. 

Untuk maklumat lanjut mengenai TITP, sila rujuk http://www.spad.gov.my/ms/pusat-media/kenyataan-media/2016/spad-memperkenalkan-perancangan-untuk-mempertingkatkan-industri atau hubungi SPAD (Hotline: 1-800-88-7723 atau emel kepada titp@spad.gov.my).

|Muat Turun Fail|

Media