Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
media centre

SPAD MENYERAHKAN 300 LESEN INDIVIDU KEPADA KUMPULAN PEMANDU TEKSI YANG KELIMA DIBAWAH TITP

Printer-friendly versionSend by emailPDF version
Wednesday, 21 March 2018

KENYATAAN MEDIA

SPAD MENYERAHKAN 300 LESEN INDIVIDU KEPADA KUMPULAN PEMANDU TEKSI YANG KELIMA DIBAWAH TITP
74 Pemandu Turut Menerima Bantuan Geran Tunai Kerajaan Sebanyak RM5,000

KUALA LUMPUR, 20 Mac 2018 – Seramai (300) pemandu teksi telah menerima lesen individu hari ini daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui Program Transformasi Industri Teksi (TITP). Ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan bagi mempertingkatkan industri teksi untuk menjadi lebih responsif kepada kuasa pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang telah menyempurnakan majlis tersebut, berkata pemberian lesen teksi individu itu adalah satu inisiatif progresif oleh Kerajaan dan SPAD untuk membuka jalan bagi menyelesaikan isu serta rungutan pemandu teksi di bawah sistem pajak yang telah lama membebankan mereka. Tambah beliau, pemberian lesen individu itu diadakan menerusi inisiatif TITP bagi menambah baik kebajikan pemandu teksi, sekali gus mewujudkan daya saing yang lebih sihat di pasaran masa kini.

Kumpulan kelima penerima lesen individu pada hari ini telah melalui proses saringan yang ketat oleh Suruhanjaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan serta menepati syarat-syarat kelayakan pelesenan SPAD. Penerima lesen individu kumpulan kelima ini terdiri daripada 159 pemandu teksi dan 142 pemandu kereta sewa.

Daripada jumlah itu, 52% pemandu adalah daripada Lembah Klang dan Negeri Sembilan, 24% daripada Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, dan 23% daripada Melaka dan Johor Bahru. Tambahan lagi, 74 daripada penerima lesen individu pada kali ini turut menerima geran tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baru. Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ketika Pembentangan Bajet 2017.

Sejak dilaksanakan, seramai 2,493 pemandu teksi telah menerima lesen individu dan sebanyak 82 Geran Tunai kerajaan yang bernilai RM410,000 telah diberikan kepada pemandu teksi yang layak. (Bilangan ini adalah setakat 3 Jan 2018.)

Pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2017 akan membolehkan penyeragaman peraturan syarat-syarat sewa pajak yang akan dikawal selia oleh SPAD. Ini termasuk peruntukkan bagi hari bebas sewa untuk pemeriksaan PUSPAKOM, cuti tahunan dan cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama, dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak.

Pindaan undang-undang bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 telah pun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada akhir Julai lalu dan akan diwartakan pada suku ke 2, 2018.

Untuk maklumat lanjut mengenai TITP, sila rujuk www.spad.gov.my/ms/pusat-media/kenyataan-media/2016/spad-memperkenalkan-perancangan-untuk-mempertingkatkan-industri atau hubungi SPAD (Hotline: 1-800-88-7723 atau titp@spad.gov.my).

|Muat Turun Fail|

Media