Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

-A A +A

SPAD Sediakan Khidmat Semakan Bas Tambahan untuk Perayaan Tahun Baru Cina 2013

Printer-friendly versionSend by emailPDF version
Friday, 8 February 2013

KUALA LUMPUR, 6 Februari 2012 : Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ekspress untuk pulang sempena perayaan Tahun Baru Cina adalah digalakkan menyemak senarai bas di laman web S.P.A.D. (www.spad.gov.my). Orang ramai juga boleh menggunakan pelayar sesawang (web browser) pada komputer atau telefon bimbit untuk memeriksa status bas melalui www.spad.gov.my/cny2013. Ini bagi mengelakkan penumpang keliru atau tertipu oleh sendiket yang tidak bertanggungjawab dengan dengan menawarkan tiket yang tidak sah.

Bagi menampung permintaan terhadap penggunaan bas ekspress di musim perayaan ini, S.P.A.D. telah mengeluarkan Lesen Perubahan Sementara (“LPS”) kepada pengusaha bas. Dengan LPS ini, pengusaha bas boleh menggunakan bas sekolah, bas pekerja, bas catar, bas berhenti-henti dan bas persiaran sebagai bas ekspress. Sehubungan itu, S.P.A.D. telah meletakkan senarai nama syarikat- syarikat dan nombor pendaftaran bas yang telah diluluskan LPS di laman web S.P.A.D., bagi kemudahan rujukan. Ini juga adalah usaha bagi mengelakkan penipuan oleh “ulat tiket” yang akan menawarkan tiket yang lebih mahal serta kemungkinan keadaan bas yang tidak mematuhi syarat-syarat operasi dan keselmatan.

Bas yang mempunyai LPS daripada SPAD mempunyai permit yang sah dan telah mendapat kelulusan daripada S.P.A.D.. Penggunaan bas yang tidak mempunyai permit yang sah hanya akan mengundang bahaya kerana perkhidmatan mereka tidak diinsurankan. Pengusaha juga dibenarkan untuk mengenakan caj tambahan 10% bagi penjualan setiap tiket bas tambahan yang mempunyai LPS.

Pada tahun lepas sebanyak 2,015 LPS telah dikeluarkan kepada pengusaha-pengusaha bas. Bas-bas yang digunakan wajib memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti yang termaktub dalam Garispanduan Pekeliling 6/2012 yang juga boleh dirujuk di laman web S.P.A.D. dan pejabat- pejabat S.P.A.D. Negeri.

Dalam pada itu juga, Bahagian Penguatkuasaan S.P.A.D. akan melipat gandakan operasi dan pemantauan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam darat di sepanjang musim perayaan ini. Jika pengguna atau penumpang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan yang dilakukan oleh pengendali seperti memandu melebihi had laju dan sebagainya, penumpang boleh menyalurkan maklumat kepada S.P.A.D. dengan menghubungi talian hotline (1-800-88-7723), email (aduan@spad.gov.my) atau melalui Tweeter (@aduanSPAD).

Muat turun Senarai Pengendali Bas Ekspres Yang Telah Diberi Kelulusan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan Tahun Baru Cina 2013 atau semak atas talian www.spad.gov.my/cny2013.