KUALA LUMPUR (22 Ogos 2012): Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil serius dakwaan terdapatnya pemandu bas yang dikesan positif mengambil dadah ketika Ops Selamat pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Maklumat terkini yang diperolehi SPAD menyatakan bahawa daripada jumlah keseluruhan pemandu bas yang diarahkan menjalani ujian air kencing, hanya empat (4) individu didapati positif sebagai telah mengambil dadah. Satu (1) daripadanya adalah kerana mengambil ubat preskripsi doktor.
SPAD akan mengadakan temusiasat bersama pemandu dan syarikat bas yang terbabit dalam jangkamasa terdekat. Sekiranya didapati bersalah tindakan sewajarnya akan diambil. Malah berdasarkan kepada jumlah dan berat kesalahan dilakukan pemandu, permit syarikat pengendali bas terlibat boleh digantung. SPAD juga boleh mengesyorkan kepada JPJ bagi menggantung lesen memandu komersial (PSV) dan lesen memandu individu terbabit.
Syarikat pengendali bas diingatkan bahawa mereka perlu memastikan pemandu bas mereka mempunyai rekod keselamatan yang bersih dan bebas daripada mempunyai rekod jenayah. Ini merupakan antara syarat Lesen Pengendali dimana perlakuan salah pemandu adalah menjadi tanggungan syarikat pengendali. Keselamatan penumpang dan orang awam adalah kepentingan paling utama dan menjadi tanggungjawab bersama semua pihak terlibat.
SPAD akan sentiasa berkerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti JPJ dan PDRM bagi tujuan menjamin keselamatan penumpang, orang awam dan juga pemandu.

