Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

MAKMAL TRANSFORMASI INDUSTRI BAS EKSPRES

Printer-friendly versionSend by emailPDF version

Kerajaan sentiasa memandang serius terhadap sebarang tragedi jalan raya yang berlaku tanpa mengira sama ada ia melibatkan kemalangan yang kecil atau pun yang besar. Bertitik tolak daripada kesedaran untuk meningkatkan keselamatan serta menambahbaik perkhidmatan bas ekspres, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan Makmal Transformasi Industri Bas Ekspres pada 20 Februari 2017 bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby, bagi menguraikan permasalahan spesifik berkaitan industri bas.

Makmal yang berlangsung selama lapan minggu ini, akan memberi tumpuan untuk mengenal pasti isu-isu sebenar dan mengambil kira keadaan semasa industri melalui pengesahan data yang diterima daripada juru runding dan kaji selidik. Perasmian makmal tersebut telah dihadiri oleh YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg Tan Sri Dato' Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Pengerusi SPAD, wakil dari kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, persatuan-persatuan dan pemegang berkepentingan industri.

Di dalam ucapannya, YBhg Tan Sri telah menyatakan bahawa secara asasnya Makmal ini adalah sebahagian daripada usaha SPAD untuk menjalinkan kerjasama dengan kesemua kementerian, agensi, persatuan dan pemegang berkepentingan yang terlibat. YBhg Tan Sri telah memanggil agar semua pihak untuk berganding bahu mencari penyelesaian yang terbaik bagi permasalahan yang dihadapi dan berusaha untuk meningkatkan taraf perkhidmatan, serta menerapkan budaya keselamatan di dalam industri bas.

Bagi memastikan Makmal berjalan dengan lancar, lima kategori utama telah dikenalpasti: (1) model perniagaan, (2) keselamatan, standard & teknologi, (3) kebolehpercayaan perkhidmatan & kebolehcapaian, (4) sumber tenaga & kepakaran pemandu dan (5) strategi lautan biru nasional & komunikasi. Segala permasalahan industri akan dibahagikan berdasarkan kategori-kategori tersebut bagi menjawab pelbagai persoalan mengenai amalan industri bas ekspres, kebajikan pemandu bas dan keseimbangan di antara keuntungan dan keselamatan penumpang.

Usahasama di antara agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, SPAD dengan kerjasama pengendali contohnya, pada tahun ini, telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan melibatkan bas ekspres. Pada tahun ini, cuma terdapat satu sahaja kemalangan serius di Jasin, di mana pemandu dan beberapa penumpang hanya mengalami kecederaan ringan. SPAD juga hanya menerima 41 aduan pada musim Tahun Baru Cina tahun ini terhadap perkhidmatan bas ekspres dibandingkan dengan 70 aduan semasa musim Tahun Baru Cina pada tahun 2016.

Sungguhpun ini adalah satu pencapaian yang baik, permasalahan yang dialami industri perlu dikaji sehingga ke akar umbinya. Statistik daripada MIROS mendapati bahawa 66% kemalangan yang melibatkan bas dan lori adalah disebabkan oleh faktor manusia (10% disebabkan faktor kenderaan, 4% faktor penglihatan dan 20% faktor keadaan jalan raya). Oleh itu, Makmal ini juga akan meneliti pelbagai aspek keperluan industri yang melibatkan faktor manusia seperti kekurangan pemandu dan ‘driver fatigue’.

Penghujung Makmal ini akan dapat mengenal pasti secara berkesan isu-isu sebenar di dalam industri bas dan kemudiannya menggariskan perancangan terperinci bagi program yang berupaya memberikan impak yang ketara untuk mentransformasikan pengangkutan awam darat negara agar lebih selamat, lebih selesa dan lebih cekap untuk rakyat. Rumusan yang akan diperolehi daripada Makmal ini, akan dibentangkan bersama cadangan-cadangan untuk pertimbangan Kerajaan bagi pelaksanaan selanjutnya.